Mutiara Kata

“If lie returns to the mouth of the powerful, our voice of fire will speak again because we have the right to fight for our lives and dignity…”

-Power of the people-

Tuesday, May 20, 2008

Kejutan-Tun Mahathir

Petikan Akhbar-Kosmo (Dr. Mahathir keluar UMNO)

Oleh BASIR ABU BAKAR dan ZAINAL AZHAR MOHAMED berita@kosmo.com.my

ALOR STAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta semalam dengan alasan telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO sekarang.

Menurut Dr. Mahathir, kepimpinan UMNO ketika ini gagal membela nasib orang Melayu di negara ini dan ia menjadi punca kepada keputusannya itu.

"Saya umum saya keluar parti (UMNO) hari ini (semalam)," tegas beliau yang juga merupakan ahli UMNO seumur hidup.

Ungkapan yang mengejutkan itu diumumkan di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang terdiri daripada pelbagai parti dan kaum pada majlis ceramah bertajuk 'Kedudukan Orang Melayu Pasca Pilihan Raya Ke-12' anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah di sebuah hotel di sini.

Jelasnya, surat mengenai pengisytiharan keluar parti itu akan dihantar secara rasmi kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor secepat mungkin.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir memberitahu, beliau akan kembali semula bersama UMNO sebaik sahaja Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Dr. Mahathir dengan wajah yang kecewa berkata, beliau terpaksa mengambil tindakan keluar UMNO yang dianggotainya sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, seperti sejarah penubuhannya.

Sambil menyatakan rasa tidak puas hatinya, beliau mendakwa, UMNO kini telah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden UMNO dan mengutamakan kepentingan keluarganya sehingga membelakangkan negara.

Malah beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana ahli-ahli UMNO masih disekat oleh kepimpinan parti daripada berjumpanya.

"Sampai nak adakan perjumpaan, ahli-ahli UMNO dan ketua bahagian tidak dibenar berjumpa saya. Ini apa?

"Saya boleh senaraikan perkara-perkara yang dia (Abdullah) lakukan sehingga merugikan negara kita dan UMNO yang wujud hari ini tidak lagi berpegang kepada hasrat parti yang ditubuhkan 62 tahun lalu," katanya.

Dalam sejarah Dr. Mahathir dalam UMNO, beliau pernah dipecat daripada parti itu pada 1969 kerana melanggar disiplin parti apabila mengkritik kepimpinan UMNO ketika itu, tetapi diterima kembali ke dalam parti pada 1972.

Katanya lagi, pengumuman untuk keluar parti tidak merujuk kepada sesiapa, sebaliknya keputusan daripada diri beliau sendiri.

"Saya beri pengakuan berkenaan diri sendiri, saya tidak peduli sama ada orang nak ikut atau tidak, kalau mereka harus sokong Abdullah, utamakan Abdullah kerana itu hak mereka," ujarnya.

Mengenai kesempatan yang bakal diambil oleh pembangkang di sebalik keputusan tersebut, Dr. Mahathir berkata, parti lawan mahu Abdullah terus menjadi pemimpin kerana mereka mengiktiraf kepimpinannya.

"Parti lawan mahu Abdullah kerana beliau telah memberi kejayaan besar kepada mereka pada pilihan raya lalu (Pilihan Raya Umum Ke-12)," dakwa beliau.

Sebelum itu, dalam ceramah yang disampaikannya, beliau mencadangkan supaya pemimpin-pemimpin UMNO cawangan dan bahagian meletak jawatan dan keluar UMNO, tetapi bukan untuk menyertai parti lain kerana tindakan itu perlu dilakukan untuk menyelamatkan parti selagi ia diterajui Abdullah.

20 Mei 2008

Kenapa ini berlaku??
Apakah yg akan terjadi pada bangsa Melayu dan UMNO??

No comments: